:
PENGENALAN


Pengajian agama kini menjadi wadah kepada masyarakat setempat yang memerlukan keseimbangan antara bidang akademik dan agama. Atas dasar itu maka lahirlah Madrasah Pra-Tahfiz al-Mansoorah (selepas ini disebut MAPTAM) pada tahun 2004. MAPTAM dari awal penubuhannya hinggalah ke mutakhir ini menawarkan dua bidang pengajian iaitu pengajian peringkat pra sekolah dan pengajian peringkat KAFA/SRITI selain dari turut menawarkan pengajian al-Quran samada Tahfiz dan Tilawah secara terbuka kepada masyarakat setempat. Bagi sekolah KAFA/SRITI, MAPTAM memakai nama Sekolah Rendah Islam al-Mansoorah manakala bagi peringkat pra sekolah, MAPTAM menggunakan nama Tadika Islam al-Mansoorah di mana kedua-dua nama ini adalah nama yang telah dipersetujui dan disahkan oleh pihak Jabatan Agama Islam negeri Selangor (JAIS). Selaras dengan keperluan JAIS, kurikulum pembelajaran MAPTAM adalah berasaskan kepada sistem sukatan pelajaran yang telah digariskan oleh JAIS. Pengajian peringkat pra-sekolah walaubagaimanapun tidaklah tertumpu kepada pengajian agama semata-mata. Para pelajar turut didedahkan kepada subjek-subjek akademik seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Manakala pelajar KAFA/SRITI pula, selain dari mengikuti pengajian agama dan akademik, mereka turut mendapat pendedahan dengan aktiviti-aktiviti yang memberi nilai tambah kepada pelajar itu sendiri seperti penghayatan Sirah Nabawiyyah, pembacaan dan hafazan pilihan ayat-ayat al-Quran, doa dan salawat serta amali ibadah. Dalam usianya yang melebihi 5 tahun, MAPTAM sentiasa berusaha untuk meningkatkan prasarana dan kurikulum-kurikulum yang terkini agar pelajar sentiasa segar, tertarik dan selesa untuk menimba ilmu. Adalah menjadi harapan institusi ini agar dakwah Islam terus subur dan berkembang di kawasan ini menerusi praktikaliti amal ibadah dan penyebaran ilmu-ilmu agama di kalangan warganya.